Berita

Salur kemarahan rakyat Malaysia kepada Kementerian Pendidikan

lim guan eng anak-anakKUALA LUMPUR, 24 JULAI: Rakyat Malaysia berhak marah terhadap tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan rasional pihak Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh kerana meletakkan pelajar bukan Islam untuk makan di bilik mandi ketika rehat bukannya di kantin ketika bulan Ramadhan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berharap kemarahan mereka itu dapat disalurkan terhadap kegagalan Kementerian Pendidikan untuk memupuk rasa hormat terhadap semua agama dan mengambil kira sensitiviti agama lain.

Bagaimanapun, katanya, DAP memuji sikap rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam, kerana bersama-sama mengutuk dan mengecam tindakan menjijikkan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh itu.

Beliau berkata, paling menyedihkan ‘bilik makan’ sementara di dalam bilik mandi itu juga terletak bersebelahan tandas yang berbau.

“Seperti yang pernah diberitahu kepada saya oleh seorang ulama Islam, orang bukan Islam boleh makan di hadapan orang Islam malah orang Islam itu akan beroleh ganjaran pahala.

“Islam tidak membenarkan tindakan sedemikian dan DAP berharap rakyat Malaysia dapat membezakan antara Islam yang mulia dan aman, berbanding mereka yang merosakkan nama baik Islam dengan memberi layanan yang begitu menghina terhadap kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, sikap tidak sensitif terhadap perasaan orang bukan Islam diperlihatkan dengan keengganan Kerajaan Persekutuan BN untuk bertindak terhadap Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mengancam membakar kitab Bible dan calon Parlimen BN Shah Alam, Zulkifli Noordin yang menghina agama Hindu dan tidak pula menarik balik kenyataannya atau meminta maaf.

Sebaliknya, katanya, pasangan muda Alvin Tan dan Vivian Lee pula dihukum walaupun mereka telah meminta maaf atas tindakan keji yang tidak menunjukkan rasa hormat terhadap bulan Ramadan yang suci.

Beliau berkata, atas sebab itu, ibu bapa tidak boleh disalahkan kerana enggan menghantar anak mereka ke sekolah rendah kerajaan tetapi memilih untuk ke sekolah vernakular, kerana risaukan kesejahteraan anak-anak mereka.

Guan Eng berharap kanak-kanak itu tidak mengalami sindrom rendah diri selepas pengalaman keadaan yang tidak menyenangkan itu.

“Kewujudan MIC, Gerakan dan MCA dalam Barisan Nasional (BN), meskipun sudah tidak lagi relevan dan gagal menyumbang kepada BN, memperlihatkan pihak yang meragukan itu sekadar berasa senang dengan faedah dan keistimewaan berbanding prinsip dan polisi yang memberi faedah kepada rakyat.

“Bagaimana parti politik itu masih kekal dalam BN yang hanya mahu mewakili sebuah komuniti atau sebahagian daripada masyarakat sahaja,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mengajak rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam, bersama-sama menentang tindakan provokatif dan layanan diskriminasi di sekolah terbabit sebaliknya rapatkan barisan dan bersolidariti dengan rasa kemanusaan, menentang budaya perkauman dan kebencian dengan memperkukuhkan pendirian meskipun berbeza kepercayaan dan warna kulit, kita semua tetap sebangsa – bangsa manusia.-Roketkini.com