Berita

DAP kecewa Kamalanathan tutup isu kontroversi tanpa penjelasan

lge signKUALA LUMPUR, 25 JULAI: DAP kecewa kerana Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan begitu tergesa-gesa menutup kes kontroversi pelajar bukan Islam yang disuruh menggunakan bilik mandi sebagai kantin sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh pada bulan puasa tanpa menjelaskan kepada umum.

Selain itu, DAP juga sedih apabila gambar polis dengan senjata berat berkawal di luar sekolah itu bagi menghalang ibu bapa dan rakan mereka yang seolah-olah dianggap penjenayah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata ini kerana ibu bapa kepada 1,300 pelajar sekolah itu, termasuk 28 pelajar bukan Islam mahu penjelasan diberi terhadap fakta dan kenyataan yang sangat tidak konsisten dan bercanggah mengenai kejadian itu.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia juga mahukan kebenaran didedahkan sebelum mereka yakin dengan dakwaan Kamalanathan bahawa ini bukan isu berkaitan kaum atau agama.

“Sifat tergesa-gesa menyelesaikan kes kontroversi itu dilihat sebagai usaha untuk menutup kebenaran, kecuali Kamalanathan boleh menjelaskan kepada ibu bapa mengenai pemindahan kantin ke bilik mandi kerana kerja membaikpulih sejak Mac tahun ini.

“Tambahan pula, kami tidak nampak langsung tanda-tanda kerja membaikpulih kantin dilakukan dan jika sudah selesai, kenapa kantin itu tidak dibuka semula,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, Kamalanathan gagal menjawab persoalan ibu bapa mengenai anak mereka disuruh makan di kantin sementara dalam bilik mandi itu dua hari selepas bermulanya Ramadan.

Kamalanathan hanya menyelesaikan masalah memindahkan tempat makan keluar daripada bilik mandi itu sedangkan tindakan tidak diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang.

“Umum perlu mengetahui bagaimana insiden sedemikian boleh berlaku kerana sangat memalukan bagi kanak-kanak yang terpaksa makan di bilik mandi yang dijadikan kantin sementara.

“Mesej yang jelas mesti disampaikan supaya penjawat awam dapat menghormati sensitiviti dan hak semua masyarakat. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menambahkan persepsi negatif bahawa sensitiviti dan hak orang bukan Islam boleh diinjak-injak tanpa sebarang hukuman,” tambahnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kesal kerana Kerajaan Persekutuan BN gagal menghukum pemimpin Perkasa yang tidak meminta maaf kerana seruannya yang rasis dan melampau untuk membakar kitab Bible dan mengeluarkan kenyataan anti-Hindu, sedangkan pasangan muda Alvin Tan dan Vivian Lee didakwa di mahkamah kerana menghina Islam meskipun sudah meminta maaf, jelas sekali tidak membantu untuk menolak dakwaan wujudnya sikap ‘double standard’.-Roketkini.com