Berita

“Father Augustus Chen” sumber rekaan UMNO/BN untuk burukkan DAP

lks_IMG_4421KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek yang menyebut nama “Father Augustus Chen” sebagai sumber berwibawa adalah rekaan yang menjadi asas kepada Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan, Datuk Abdul Rahman Othman mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Ketua Parlimen DAP, Patah Lim Kit Siang, berkata kenyataan itu menunjukkan konspirasi UMNO/BN untuk menjadikan pemilihan CEC DAP yang diadakan Disember lalu sebagai tidak sah.

Katanya, “Father Augustus Chen” yang dikatakan menulis risalah menjelaskan mengenai percanggahan dalam pemilihan CEC DAP tahun lalu adalah imaginasi “war room” UMNO/BN dalam kempen menentang DAP sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Tuduhan mengenai percanggahan dalam pemilihan DAP “Father Augustus Chen” itu adalah serpihan daripada sekian banyak pembohongan dan tuduhan tidak berasas yang diterbitkan menerusi kira-kira 400 laporan dan tulisan mengenai DAP dalam media kawalan UMNO/BN sejak Januari, khususnya Utusan Malaysia dan New Straits Times.

“Risalah yang ditulis watak rekaan itu diberi kedudukan yang begitu tinggi dalam media kawalan UMNO/BN sehingga berita mengenainya diterbitkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil, serta diedarkan meluas secara percuma. Semua itu menunjukkan ia ada kaitan dengan kempen “war room” UMNO/BN untuk memburuk dan memusnahkan DAP,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, beliau pada mulanya pelik mengapa risalah pembohongan yang dikarang watak rekaan “Father Augustus Chen” muncul bulan lalu sedangkan PRU-13 sudah berlalu.

Menurutnya, kini beliau faham kemunculan itu untuk memberi semacam justifikasi kepada tindakan UMNO/BN dan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terhadap DAP.

Menurut Abdul Rahman, Akta Pertubuhan 1966 tidak mewajibkan ROS menjelaskan keputusannya kepada orang ramai.

“Saya tidak rasa ROS ingin mengatakan bahawa ia mempunyai kuasa menurut undang-undang untuk bertindak secara tidak wajar, maka cara terbaik untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa ia tidak menyalahgunakan kuasanya ialah dengan menjelaskan alasan bagi keputusannya,” katanya.-Roketkini.com