Berita

Jenayah berleluasa, bukti tranformasi Najib gagal – Charles Santiago

893316_516526498419660_478853359_oKLANG, 13 OGOS: DAP menganggap kadar jenayah yang semakin berleluasa adalah bukti kerajaan gagal walaupun mendakwa mengutamakan program tranformasi seperti dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago berkata, kerajaan usah lagi berdolak-dalik, sebaliknya segera melakukan langkah penyelesaian dan memandang serius kejadian demi kejadian yang tidak berkesudahan.

Katanya, kerajaan harus segera menggerakkan lebih ramai anggota polis di jalanan yang kini hanya terdapat sembilan peratus daripada 112,583 atau 10,150 pegawai beruniform di negara ini di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

“Lebih daripada 20 orang terbunuh dalam peristiwa tembakan sejak April lalu termasuk yang menimpa Pengasas Bank Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi sehari selepas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak.

“Rakyat ditembak di persimpangan jalan raya yang sibuk, di lampu isyarat dan restoran oleh lelaki bersenjata melepaskan tembakan sehingga dua dozen di mana sahaja, pada siang hari.

“Sebuah laman sesawang juga menyatakan bahawa Kuala Lumpur kini adalah bandar keenam paling berbahaya di Asia Tenggara dan Najib tahun lalu menyatakan bahawa Malaysia adalah negara paling selamat di rantau ini, jelas tidak benar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Statistik polis yang dikeluarkan agensi pembaharuan ekonomi negara, PEMANDU, menunjukkan terdapat 15,098 kes jenayah kekerasan dalam tempoh enam bulan tahun ini, ianya meningkat daripada 14,811 dalam tempoh yang sama tahun lalu. Pembunuhan juga meningkat kepada 322 dalam tempoh enam bulan berbanding hanya 291 pada 2011.

Beliau turut mempertikai daripada mana datangnya senjata api yang diguna penjenayah, seolah-olah begitu mudah diperoleh walhal Malaysia mempunyai undang-undang pemilikan senjata yang ketat.

“Terdapat sekurang-kurangnya 370,000 senapang yang dimiliki di Malaysia dengan jumlah penduduk hanya seramai 28 juta. Jepun dengan penduduk seramai 127 juta dan 710,000 senapang. Malaysia mempunyai nisbah satu senjata untuk setiap 78 orang, lebih tinggi daripada Vietnam yang mempunyai nisbah 1:80.

“Tapi yang anehnya negara kita mempunyai undang-undang pemilikan senjata api yang ketat. Hanya mereka yang mempunyai lesen dibenar mempunyai senjata sendiri, sesiapa yang ditangkap memiliki senjata tanpa lesen boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan hukuman mati jika mempunyai peluru hidup. Jadi, daripada mana senjata yang digunakan dalam kejadian tembak-menembak baru-baru,” katanya.

Santiago turut menyelar tindakan kerajaan yang hanya pandai membuat undang-undang tanpa mempraktikkan langkah mengekangnya terutama mengenai kawalan keselamatan di sempadan yang longgar sehingga menyebabkan kemasukan senjata api berlaku dengan sewenangnya.

“Jelas undang-undang yang ketat tanpa penguatkuasaan tidak mencukupi untuk mengekang episod tembak menembak yang melanda negara. Dalam erti kata lain, mengawal selia lesen senjata tidak mencukupi. Kerajaan juga mesti serius dalam mencegah penyeludupan merentas sempadan.

“Undang-undang ini mesti dilengkapkan dengan kehendak kerajaan untuk menangani budaya rasuah yang sewenang-wenangnya dalam pasukan polis, imigresen dan kastam,” tegasnya.

Beliau juga mendesak Najib agar segera menubuhkan suruhanjaya bebas untuk membasmi salah guna kuasa dan rasuah yang membabitkan pasukan keselamatan negara.

“Najib perlu mengarahkan agensi anti rasuah melancarkan siasatan terhadap bukan saja polis tapi pegawai imigresen dan kastam yang terbabit dalam jenayah merentasi sempadan, termasuk penyeludupan senjata.

“Kerajaan perlu menerima pendekatan holistik untuk mencegah jenayah kerana ia berkait rapat dengan kekurangan pendidikan, peluang pekerjaan dan persekitaran yang kondusif untuk kumpulan terpinggir,” ujarnya. – Roketkini.com