Berita

Sikap jujur, ikhlas DAP bawa padah

DAP ros 2KUALA LUMPUR, 16 OGOS: DAP terpaksa akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan  (ROS) yang melakukan penindasan mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN) serta tidak menghormati undang-undang bagi mengelak parti itu dibatalkan pendaftarannya.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pemimpin DAP akan menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan rasional keputusan terbaru itu selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bermesyuarat Khamis depan bagi membincangkan mengenai pemilihan semula.

Katanya, tindakan ROS itu terbukti tidak beretika malah sudah beberapa kali bersikap tidak profesional dan menyalahi undang-undang apabila mengumum kepada media tanpa mempunyai asas dan fakta undang-undang kukuh.

“Sebaliknya semua fakta dan maklumat yang diberi DAP yang disahkan oleh sebuah firma perakaunan tidak diterima, malah ROS lebih mempercayai pembohongan tidak berasas oleh seseorang yang tidak wujud yang dikenali “Father Augustus Chen”, Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) yang mendakwa 753 delegasi dinafikan hak atau terdapat 547 perwakilan “hantu” menghadiri Kongres DAP dim Pulau Pinang, Disember tahun lalu.

“Walaupun pahit dan menyakitkan, pemimpin DAP yang menghadiri mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada malam Rabu lalu terpaksa bersetuju mengadakan pemilihan semula selain menghalang ROS daripada sekali lagi menyalahgunakan kuasa untuk membatalkan pendaftaran parti.

“Sebelum ini terdapat banyak contoh ROS menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan double standard, termasuk tidak bertindak ke atas pemilihan SUPP walaupun dengan gangguan menyalahi undang-undang pada pemilihan parti itu tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dimaklumkan ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula menunjukkan ROS tidak bebas dan mengikut telunjuk BN sedangkan permintaan DAP supaya dibekalkan aduan yang dibuat tidak mendapat maklum balas.

“Keengganan ROS mengakui kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung DAP yang disampaikan kepada Setiausaha Organinasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook pada Rabu lalu bukan sahaja tidak profesional malah membuktikan niat menindas dan menekan DAP,” katanya.

Bagaimanapun beliau berharap pemimpin DAP tidak menjadi pasif sebaliknya mesti pro-aktif dalam menghadapi permusuhan secara terang-terangan itu.

“Jelas ada tindakan undang-undang bagi DAP untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan ROS ‘yang jelas menyalahi undang-undang kerana melanggar Perkara 18A, 18B dan 18C Akta Pertubuhan 1966.

“Bagaimanapun bagi menghadapi perkara itu secara terbuka, pemimpin tertinggi DAP bimbang untuk memfailkan semakan kehakiman yang membolehkan ROS mengambil tindakan seterusnya membatalkan pendaftaran parti walaupun menyalahi undang-undang.

“Bagaimanapun, pembatalan pendaftaran akan memberi risiko kepada parti untuk mendakwa ROS ke mahkamah. Malah, kalau DAP menang sekalipun di mahkamah terhadap arahan itu, DAP mungkin terpaksa sekali ke mahkamah untuk mengenepikan pembatalan pendaftaran parti yang akan mengambil masa berbulan atau bertahun untuk selesai.

“Tindakan itu membuktikan BN berjaya membalas dendam terhadap DAP yang mencatat kemenangan bersejarah pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu apabila memenangi 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara serta menyumbang kepada Pakatan Rakyat  memenangi undi popular sebanyak 51% dan menolak BN menjadi sebuah parti minoriti. Sebagai kerajaan minoriti, BN membuktikan tasnpa ragu dan teragak-agak sama ada bertindak menyalahi undang-undang atau mengamalkan double-standard.

“Pemilihan CEC pada Disember tahun lalu adalah betul dan bersih kecuali gangguan komputer menyebabkan pengumuman calon yang berjaya salah, tetapi DAP segera diperbetulkan dan mendapat mengesahakn firma perakaunan bahawa kesilapan hanya dalam posting keputusan, yang membawa kepada Vincent Wu diumumkan sebagai calon yang berjaya bukannya Zairil Khir Johari.

“Kesilapan itu diperbetulkan dengan mengembalikan Zairil Khir Johari sebagai calon yang menang. DAP menjelaskan sepenuhnya kesilapan ini secara jujur ​​kepada pegawai Pendaftar Pertubuhan dengan memberi semua bahan yang berkaitan. Kesilapan itu diterima menegakkan ketelusan dan akauntabiliti, tetapi DAP kini dihukum kerana menyatakan yang jujur ​​dan benar,” katanya.-Roketkini.com.