Budaya

Bohong sunat – Oleh Adrishta Adi

Beribu tahun dahulu, seorang filsuf Yunani bernama Plato mencipta gagasan Raja Filsuf sebagai pemerintah sebuah utopia yang aman dan makmur.

Untuk mencapainya, Plato berpandangan bahawa warga utopia itu  harus dibahagikan kepada tiga kasta. Kasta tertinggi merupakan warga elit dipanggil Pelindung yang mendalami ilmu dan memahami falsafah. Ini kerana hanya filsuf yang memerintah atau pemerintah yang faham falsafah sahaja mampu mengerti makna ‘keadilan’. Lalu memerintah bukan berlandaskan kepentingan hawa nafsu.

Apakah cara untuk mengolah persepsi sekalian warga agar menerima pembahagian kasta sedemikian?  Plato melihat caranya adalah dengan mendoktrinkan gennaion pseudos atau apa yang biasa kita sebut secara berseloroh sebagai ‘bohong sunat’.

Para warga utopianya haruslah menerima dogma bahawa Tuhan menciptakan manusia dalam tiga jenis. Yang terbaik dan layak memerintah tercipta daripada emas. Yang tercipta daripada perak pula selayaknya menjadi tentera. Selebihnya warga biasa tercipta daripada tembaga dan besi. Sudah tentu ‘bohong sunat’ yang didogmakan perlu bagi memastikan semua menerima ide pembahagian kasta sedemikian.

Mitos dan dogma bukan sahaja wujud di dalam utopia Plato. Malah sudah menjadi kebiasaan pemerintah dahulu kala.

Di Eropah, raja-raja dan bangsawan mendoktrinkan kepada marhaen bahawa keabsahan pemerintahan mereka adalah daripada Tuhan. Raja-raja itu berhak memerintah kerana itu kehendak Tuhan. Maka ketaatan mutlak harus diberikan demi menuruti kehendak Tuhan. Menentang raja bermakna menetang Tuhan.

Dalam tamadun Cina pula konsepnya lebih baik sedikit. Maharaja dikatakan memerintah dengan restu Tuhan. Tian ming atau mandat Tuhan mengabsahkan pemerintahan seseorang Maharaja malah keseluruhan dinastinya. Selagi pemerintah menjaga tatasusila mereka, maka mereka akan terus menikmati mandat Tuhan.

Oleh itu, mandat yang memberi Maharaja keabsahan kuasa boleh menjadi senjata makan tuan, meletakkan para pemerintah ini dalam keadaan sedikit berhati-hati. Ini kerana pemberontak yang melakukan rampasan kuasa turut boleh menjustifikasikan tindakan mereka itu sebagai beralihnya mandat Tuhan daripada pemerintah sebelumnya kepada mereka.

Mitos hari ini

Hari ini, tiada yang mahu mengabsahkan pemerintahan mereka berhujahkan ia adalah kehendak Tuhan. Apatah lagi berhujah bahawa mereka diciptakan dari unsur yang lebih bernilai.  Cubaan sedemikian hanya akan mengundang ketawa atau cuma akan berjaya menubuhkan kultus mirip kumpulan Ayah Pin.

Sejarah lampau negara ini sendiri kaya dengan mitos menggangkat pemerintah persis bayangan Tuhan. Namun semua itu sudah terhakis dengan perubahan zaman. Setelah mengguna pakai sistem demokrasi perwakilan, pemerintah sendiri terpaksa akur bahawa keabsahan pemerintahan mereka adalah dengan mandat rakyat.

Adakah itu bermakna tiada lagi mitos, tiada lagi ‘bohong sunat’ dalam  mengabsahkan pemerintahan negara ini?

Sistem boleh berubah, namun nafsu manusia untuk menguasai tidak akan luput. Cuma berubah mengambil bentuk lain. Perubahan sistem hanya membawa kepada perubahan bentuk mitos.

Sekiranya dahulu manusia mencipta dogma  kononnya mandat Tuhan bersama mereka. Hari ini silap mata boleh dilakukan dengan mandat rakyat.

Pelbagai percanggahan dan perkara meragukan di dalam daftar pemilih. Persempadanan semula yang kelihatan memberi keuntungan kepada pihak tertentu ketika pilihan raya. Institusi awam yang diperalat. Ruang yang disempitkan supaya pilihan menjadi terhad.

Segala macam masalah yang dikesan berfungsi menghasilkan cereka yang hampir sama seperti mitos dahulukala. Hasilnya dicanang sebagai bukti keabsahan yang tidak boleh dipertikaikan bagi sebuah pemerintahan.

Persoalannya, benarkah mandat rakyat betul-betul bersama pemerintah itu? Sedangkan proses pemberian mandat itu penuh perkara meragukan. Mungkin pemerintah merasakan apa salahnya, ‘bohong sunat’ kan… – Roketkini.com