Budaya

Ulasan Filem : Sang presiden pemburu pontianak – Oleh Izmil Amri

” Delapan puluh tujuh tahun yang lalu para leluhur kita telah melahirkan di benua ini sebuah negara bangsa yang baru, dengan semangat kebebasan, dan diabdikan atas keyakinan bahawa semua manusia diciptakan setara.”

Demikian terjemah ayat pertama daripada Pidato Gettysburg yang disampaikan pada 19 November 1863, dalam upacara memperingati tentera yang terkorban dalam pertempuran Gettysburg sewaktu berlangsungnya Perang Saudara Amerika.

Pidato ini disampaikan oleh Abraham Lincoln, dalam masa lebih kurang dua minit. Di penghujungnya kita ketemu kata-kata hikmat yang merumuskan konsep demokrasi. Lincoln bermadah di akhir pidato, “…membulatkan tekad untuk memastikan mereka yang terkorban tidak mati sia-sia – agar negara ini, dengan rahmat Tuhan, akan melahirkan kebebasan baru dan agar pemerintahan rakyat, oleh rakyat dan buat rakyat tidak akan lenyap dari muka bumi.”

Membunuh pontianak dengan kapak

Abraham Lincoln ialah presiden Amerika Syarikat yang ke-16, mendiami Rumah Putih antara tahun 1861 sehingga 1865. Bukan sahaja beliau cemerlang sebagai seorang ahli politik dan pemidato yang baik, beliau juga punya hobi masa lapang membunuh pontianak dengan menggunakan kapak!

Begitulah lebih kurang idea yang cuba dijual oleh Hollywood. Seolahnya sudah tidak ada benda lain mahu dijadikan adiwira dan tokoh dengan kuasa luar biasa.

Abraham Lincoln dalam wayang gambar terbaru yang sedang ditayang di pawagam seluruh negara digambarkan sebagai seorang manusia tinggi lampai yang mampu memusing-musing kapaknya dengan gaya akrobatik yang pelbagai serta mempunyai kemahiran menebang pokok dengan sekali libasan kapaknya. Hebat sungguh Hollywood ini.

Kemahiran menggunakan kapak itulah yang menjadi modal asasnya dalam rangka besar membinasakan semua pontianak yang meliar di jajahan takluk tanah Amerika, sambil bergiat sebagai orator, politisi dan pemimpin yang membebaskan hamba abdi kulit hitam dan menggagas negara yang adil saksama.

Cuba kalau pengarah muda kita di Malaysia berani menghasilkan filem tentang Perdana Menteri yang mempunyai hobi rahsia dan ilmu ajaib sedemikian, tidak mustahil jika tiga hari tiga malam lah orang berkampung depan rumah pengarah tersebut untuk membantah dan membakar patung jerami sang sutradara kerana mempersenda tokoh negara. Kita akan cerita tentang itu nanti.

Kita halusi filem Abraham Lincoln Vampire Hunter dahulu. Saya tonton filem ini di pawagam dalam versi 3D. Kena pakai cermin mata khas, baru boleh nampak benda-benda melayang keluar dari skrin sambil melompat dari kerusi apabila ada ‘benda’ buat kita terkejut menyeringai dengan taring panjangnya tiga inci.

Malam itu, ada makcik bertudung labuh bersama suaminya datang tonton selamba saja. Aku lah yang melompat. Siapa suruh pergi tengok wayang sorang-sorang? Ya, hidup memang sunyi bila tiada si dia. Tak apa, itu mungkin menjadi catatan yang lain.

Jadi Abraham Lincoln ni muka dia ada iras-iras imej Taliban yang menjadi kesukaan akhbar, majalah dan berita TV Barat. Barangkali Lincoln satu-satunya presiden Amerika yang berjambang. Yang lain kalau ada pun, tak ramai yang tahu.

Tahun ini sahaja, dua filem dijual menggunakan namanya. Satu yang reviunya sedang anda baca. Satu lagi cerita Lincoln melawan zombi. Saya belum tengok cerita zombi tapi kawan saya peminat zombi kata dia tertidur di sofa selepas 15 minit menontonnya di rumah.

Mengapa Lincoln membunuh pontianak?

Kenapa Hollywood bikin filem fiksyen tentang Lincoln? Beliau bukannya calang-calang manusia dalam sejarah peradaban Amerika. Apa perlambangan yang mahu dihidangkan kepada umum tentang pergelutan kuasa kejahatan lawan kebaikan, dalam konteks filem ini disimbolkan anasir-anasir jahat itu sebagai pontianak, makhluk penghisap darah yang membuai para hamba abdi dalam irama tari sebelum secara mengejut membaham leher-leher mereka?

Filem ini dibikin berasaskan novel fiksyen ‘mash-up‘ yang ditulis Seth Grahame-Smith, dicetak terbit kurang lebih setahun yang lalu. Dan seperti kelaziman mana-mana adaptasi novel, kisah yang dibawa ke layar perak selalunya akan berakhir sebagai sebuah tragedi penulisan apabila suntingan terakhir membuahkan hasil yang berlainan dengan imagin sang penulis.

Novel ini belum saya baca, jadi yang saya tulis ini barangkali tidak adil. Namun sebagai seorang manusia yang membaca, dan melihat tragedi yang menimpa sekian banyak adaptasi novel, saya yakin bahawa filem bunuh-pontianak ini telah curang terhadap tulisan asal. Tapi jangan mudah percayakan saya, kalau sanggup melabur wang untuk membeli novel tentang seorang presiden Amerika memburu pontianak, silakanlah.

Jika dikesampingkan faktor penulisan yang agak gagal dipentaskan, aksi-aksi yang dipamerkan sebenarnya sangat rancak. Ini kelihatan dalam babak-babak pemburuan pontianak yang melibatkan kecekapan melibas dan memusing kapak serta beberapa aksi ala kung-fu yang memukau. Namun begitu filem ini tidak berlaku adil kepada pontianak-pontianaknya kerana digambarkan sebagai makhluk-makhluk hodoh dengan wajah seumpama setan. Ya setan pun sudah dijelmakan dalam bentuk yang telah ditetapkan oleh pakar-pakar kesan khas dan make-up watak Hollywood.

Walhal kita semua tahu, pontianak hanya memiliki sepasang siung yang lebih panjang dari biasa, serta berkulit pucat lesi. Saya yakin saya betul kerana saya sudah banyak kali menonton filem-filem Pontianak, Pontianak Gua Musang, Anak Pontianak dan sebagainya. Jangan tertipu dengan idea pontianak yang punya kulit bersinar-sinar seperti dalam kisah Twilight. Itu merepek. Atau pun mungkin itu pontianak yang kekurangan sel-sel yang menghasilkan melanin.

Mungkin memang Hollywood betul-betul mahu meletakkan simbol kejahatan yang dilawan Lincoln itu sebagai seburuk-buruk makhluk.

Politik dangkal Hollywood?

Apa yang lebih menarik ialah bagaimana penulis berjaya menggabungkan fakta-fakta sejarah dengan kisah-kisah pelik yang direka-reka secara begitu mesra dan hampir masuk akal. Ia berjaya buat saya percaya bahawa ‘ya benar, askar Konfederat majoritinya terdiri daripada kalangan pontianak. Sebab itu mereka tidak mati, dan askar-askar Union asyik kalah teruk’.

Tak pastilah sama ada itu politik dangkal yang hanya melihat Konfederasi (gabungan negeri-negeri Selatan) sebagai jahat sejahat-jahatnya manakala Union (gabungan negeri-negeri Utara pimpinan Lincoln) sebagai wira suci bersih, yang mahu dipersembahkan kepada generasi facebook, twitter dan game yang semakin kurang menggunakan otak dan minda bagi menentukan mana yang putih, mana yang hitam, mana yang kelabu dalam hidup ini.

Namun apa yang lebih penting ialah fakta pergulatan Lincoln melawan kezaliman dan membangun negara Amerika yang lebih sejahtera tanpa begitu ramai kaki penghisap darah rakyat. Segala aksesori yang cuba diketengahkan filem itu hanyalah sekadar umpan kapitalis untuk mencari laba daripada fitrah manusia yang perlukan hiburan.

Namun perjuangan Lincoln yang lebih penting dinilai. Jadi saya beri 3 bintang untuk Abraham Lincon Vampire Hunter. Satu bintang untuk aksi pusing kapak, satu bintang untuk fakta-fakta sejarah, satu bintang untuk penulisan asal yang sangat menarik.

Sekarang mari kita cari novelnya. Barangkali bacaan paling sesuai untuk hari ini, July 4th. Selamat menyambut hari kemerdekaan Amerika. – Roketkini.com