Berita

Kerajaan patut contohi Singapura pinda undang-undang hukuman gantung mandatori

KUALA LUMPUR, 15 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong berkata, sudah tiba masanya Malaysia mencontohi Singapura dengan meminda undang-undang bagi membolehkan hukuman dijatuhkan mengikut budi bicara dan bukannya melalui hukuman gantung.

Beliau berkata, pindaan undang-undang perlu dilakukan terutamanya dalam kes membabitkan hukuman gantung mandatori dengan tujuan jangka panjang untuk memansuhkannya.

“Kerajaan mesti mengotakan janji yang dibuat pada Oktober 2012 apabila bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan bahawa Jabatan Peguam Negara akan menimbang untuk mengenakan hukuman penjara bagi kesalahan membabitkan dadah, bukannya hukuman gantung.

“Mahkamah Singapura dalam kes Yong Vui Kong mengakui bahawa hukuman gantung mandatori merupakan hukuman yang kejam, menjatuhkan maruah dan tidak berperikemanusiaan. Jadi sudah tiba masanya untuk mahkamah Malaysia turut mengiktirafnya,” katanya dalam kenyataan.

Chin Tong berkata demikian merujuk kepada kes pemuda dari Sabah, Vui Kong yang terlepas daripada hukuman gantung selepas rayuan selama empat tahun di Mahkamah Tinggi Singapura.

Mahkamah Tinggi negara jiran itu hari ini menukar hukuman beliau daripada hukuman gantung kepada penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan kerana kesalahan mengedar dadah dari Malaysia ke Singapura.

November lalu, Singapura meminda Akta Penyalahgunaan Dadah untuk membolehkan budi bicara hakim dalam menjatuhkan hukuman jika syarat tertentu dipenuhi iaitu pesalah mestilah hanya penghantar dan bekerjasama penuh dengan siasatan.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP menyifatkan perubahan undang-undang Singapura itu jelas memberi manfaat kepada Vui Kong dan sekali lagi menjadikan hukuman gantung di dalam perhatian umum.

“Malaysia adalah satu daripada 58 negara di dunia yang masih mengamalkan hukuman gantung, saya sudah berulang kali membangkitkannya di Parlimen.

“Daripada jawapan Parlimen yang diterima, pada 10 Jun lalu, terdapat 964 pesalah dijatuhkan hukuman gantung. Ini menunjukkan peningkatan yang ketara daripada 696 kematian tahanan berturut-turut pada 22 Februari 2011.

“Antara 1960 dan Februari 2011, Malaysia melaksanakan hukuman itu terhadap 441 orang,” ujarnya.-Roketkini.com