Berita

MRT Corp digesa ambil tindakan segera kurangkan gangguan penduduk

KUALA LUMPUR, 17 FEBRUARI: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama, Yeo Bee Yin menggesa Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengambil tindakan segera bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang tapak pembinaan projek MRT itu.

Beliau mengulas insiden paip pecah disebabkan kerja pembinaan MRT di Persiaran Suria, Mutiara Damansara yang mengakibatkan gangguan lalu lintas di sekitar pusat membeli belah The Curve, Ikano dan IKEA, semalam.

Katanya, MRT Corp mesti menyiasat dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang.

“Kami bimbang dengan cara MRT Corp mengendalikan pembinaan projek MRT, memandangkan gangguan utiliti bukan sahaja beri kesan langsung kepada kehidupan penduduk, tetapi juga aktiviti komersial di kawasan sekitar.

“Walaupun kesulitan tidak mungkin dielakkan, kami berharap MRT Corp tidak ambil mudah dengan tolak ansur yang orang ramai, serta segera mengambil langkah perlu bagi memperbaiki pengurusan projek dan kontraktor mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan, kejadian itu menyebabkan air bercampur tanah melimpah sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Persiaran Surian dan Jalan PJU7/8.

Katanya lagi, pili air juga terpaksa ditutup bagi menghentikan limpahan dan menyebabkan gangguan air di kawasan sekitar Petaling Jaya, termasuk Seksyen 11 – 14, Sekysen 19-21, Kampung Kayu Ara, Universiti Malaya dan PJU7.

Katanya lagi, kontraktor projek MRT kawasan itu, Mudajaya Corporation Bhd mesti bertanggungjawab penuh terhadap kesulitan yang berlaku.

Beliau turut memetik The Star pada 27 September tahun lalu yang menyatakan 97 kes dilaporkan mengenai kerosakan utiliti sepanjang tapak projek MRT, antaranya Syabas dengan 51 kes, Tenaga Nasional Berhad (27), Telekom Malaysia (11).

Beliau turut mencadangkan agar MRT Corp meningkatkan perhubungan dengan orang awam untuk memberi penjelasan mengenai projek itu kepada pihak berkepentingan, seterusnya mendapat maklum balas daripada mereka.

“Memandangkan masih ada tiga tahun sehingga siap fasa pertama, MRT Corp dan semua pihak terbabit patut duduk bersama dan cari penyelesaian untuk meminimumkan kesulitan yang berlaku disebabkan kerja-kerja pembinaan itu,” katanya lagi. -Roketkini.com