Sastera

Kritik, kraf dan kehalusan: Pertanyaan-pertanyaan tentang sastera (Bahagian I)

Saya ingin percaya bahawa kritikan sastera di Malaysia ketika ini berlangsung dengan penuh ghairah dan sedang mengutarakan kepelbagaian suara yang rencam (yang perlu diberi perhatian), seperti mana saya sebagai warga yang prihatin seharusnya meyakini bahawa kesusasteraan di Malaysia, terutama sekali bagi karangan dalam bahasa Melayu, memang berada di tempat yang wajar dan menjulang tinggi seperti sebuah panji yang menaungi – sekurang-kurangnya di taman permainan sendiri – tanpa banyak soal.

Malangnya, itu tidak berlaku. Ada waktu, ketika celik mata pertama selepas tersedar dari tidur malam yang pada kebiasaannya kacau-bilau dan haru-biru, saya serta-merta akan bertanya lagi tentang keyakinan saya itu. Mempermasalahkannya sudah menjadi semacam satu keperluan, setiap kali. Ini kerana, saya gagal untuk menemui jawapan yang memuaskan. Apakah sastera Melayu kini berada di tempat ia berhak bersemayam atau sedang diusir ke suatu sudut yang kelam oleh pelaku-pelakunya sendiri? Bersemayam di sini saya maksudkan di atas takhta, bukan di kuburan.

Jadi, di mana tempat kesusasteraan Melayu yang sepatutnya? Ketika ini, saya tak dapat memikirkan satu jawapan lain untuk menolak keyakinan awal saya bahawa sastera, dari mana pun datangnya dan dalam bahasa apa pun ia dilahirkan, wajib berada di tengah-tengah lidah penuturnya sendiri terlebih dahulu. Dalam maksud yang lebih ringkas berhubung perihal latar yang ingin dibincangkan di sini, sastera Melayu perlu sebati dengan tubuh-tubuh yang bercakap dan berfikir dalam bahasa Melayu – tentunya dalam skala yang meluas, bukan segelintir.

Ia perlu menjadi satu unsur penting, bukan saja dalam pembudayaan, malah terangkum sebagai sesuatu yang penting juga dalam perjalanan kehidupan khalayaknya; sastera berperanan selaku sauh yang akan sentiasa mengikat imaginasi khalayaknya terhadap segala macam kerencaman yang didepani, dalam apa juga iklim dan latar budaya serta rentang waktu. Sastera tidak boleh hanya menempel di pinggiran dan menjadi sekadar barang sampingan untuk melawa.

Dan, jika perkara ini tidak berlaku, atau tidak lagi berkembang seperti yang sepatutnya, maka wajib kita mempertanyakan soalan yang lebih sukar kepada diri sendiri – apakah kita sudah melakukan yang terbaik dan mengerjakan perkara yang betul untuk kelangsungan kesusasteraan setempat? Malangnya lagi, menerusi kerja-kerja penulisan yang diusahakan dan diterbitkan dengan medium apa pun kini, ia seperti tidak tercermin dengan jelas dan sukar untuk dikesani berlangsung dengan sihat, paling utama dalam kalangan lingkungan yang mengaku diri sebagai penggerak atau penikmat sastera.

Andaikan telahan saya ini benar (dan tentu saja ia terbuka untuk disanggah), adakah kelompok sastera ini berani untuk mengaku kelemahan yang sedang terpampang ini dan seterusnya belajar daripada kesilapan itu? Di sini saya sedang melihat kepada rangkaian pemuka dan operator sastera establishment, antaranya yang dirujuk sebagai sastera institusi (meletakkan dan menilai sastera di bawah sayap birokrasi adalah satu kesilapan besar yang sudah terbukti sendiri kini – bagaimana mungkin sastera yang sifatnya mengalir dan berpencak dengan seribu macam kemungkinan hendak ditadbir-urus?), pemenang-pemenang hadiah sastera dan sesiapa saja yang menggelar atau merasakan diri mereka sebagai sebahagian daripada golongan sasterawan.

Saya tak tahu bagaimana khalayak menanggapi pernyataan ini, tetapi untuk saya yang bertanyakan soalan berkenaan, ia bukanlah satu nada yang angkuh untuk mempersoal status, sebaliknya sebuah suara tegas yang menuntut jawapan jelas. Adakah kita masih mahu berpura-pura di hadapan kesusasteraan yang semakin longlai dan tak disambut oleh pembacanya sendiri?

Mengapa saya berpandangan kesusasteraan Melayu sangat lesu? Tanyakan kepada diri sendiri, berapa ramai manusia yang bertutur dan berfikir dalam bahasa Melayu kini yang mengambil judul-judul daripada kesusateraan Melayu – ada yang menyebut sastera arus perdana, kerana golongan ini menonjolkan diri sebagai pemuka sastera – dengan rela hati semata-mata untuk dinikmati isinya?

Saya mungkin tersilap, tetapi saya cukup yakin bahawa nisbahnya begitu kecil jika dibandingkan dengan jumlah seluruh manusia Melayu yang membeli dan membaca bahan bacaan berbahasa Melayu waktu ini. Juga, mengapa sastera, dalam imej establishment berkenaan, berada begitu jauh daripada selera orang muda? Ini bukan merupakan satu masalah yang dihadapi di Malaysia sahaja, tetapi asakan yang sama berlaku di seluruh dunia. Cuma, situasi di sini jauh lebih merimaskan kerana bilangan khalayak pembacanya sangat kecil.

Tolak tepi teks pengajian sastera yang diwajibkan di sekolah atau mata pelajaran berkaitan sastera formalistik di pusat pengajian dan sebagainya, adakah kini kesusasteraan masih menjadi sebahagian daripada unsur pembentuk budaya, tanggapan dan proses pemahaman tentang kehidupan, misalnya? Atau, soalan yang lebih berterus-terang, adakah orang membaca karangan-karangan sastera hari ini? Jika jawapan kamu ya, tahniah! Kamu warga yang prihatin. Tetapi, sekarang sila pandang keluar dari lingkungan dan kelompok kamu sendiri itu; adakah sastera menjadi suatu hal yang dekat dengan khalayak?

Jika kerja-kerja yang dipanggil sastera ini tidak lagi disambut oleh orang ramai dalam iklim pembacaan yang bertambah rancak waktu ini, mahu atau tidak, soalan-soalan sukar ini perlu diajukan kepada kelompok dan pemuka serta pelaku sastera, dan ia perlu dihadap dengan hati yang terbuka. Novel apa yang mereka karang? Puisi apa yang ditulis? Bahasa sastera yang bagaimana mereka gunakan sehingga sastera menjadi terlalu asing di hadapan khalayaknya sendiri dalam rentang waktu dan iklim sosiobudaya seperti sekarang?

Mengapa jurang yang ada kini terasa begitu besar antara karya sastera dan khalayak pembacanya sendiri? Adakah sastera ini takdirnya di akhir nanti akan dikutuki untuk menjadi pekerjaan yang sia-sia, bukan saja tak disambut malah tak mampu lagi memberikan walau sekelumit sumbangan waima hanya di dalam ruang imaginatif khalayaknya sendiri? Ini adalah sebahagian daripada pertanyaan-pertanyaan yang kerap saya ajukan kepada diri sendiri. Ada eloknya jika soalan-soalan ini ditanyakan juga kepada diri pembaca untuk dijadikan permenungan.

Ketika cuba mengalih pandang kepada peranan sastera, atau kesannya kepada khalayak pembaca, kita akan berdepan dengan sebuah sayap lain dari kesusasteraan, yang dipanggil kritikan. Dan, untuk beberapa tempoh ke belakang, pandangan kritik sastera yang dihidangkan untuk menilai suasana kepengarangan di sini ialah dari latar akademik yang formalistik sifatnya. Saya selalu kebas otak membaca kritikan sastera begini, yang biasanya akan termuat di dalam penerbitan seperti Dewan Sastera atau kajian-kajian yang disifatkan ilmiah oleh sarjana di universiti mahupun kertas-kertas kerja ke atas mana-mana karangan yang dianggap sastera (yang jarang-jarang boleh dicapai oleh orang biasa).

Hal-hal teknik dan perlambangan bulan-bintang tak habis-habis dibincangkan, secara berulang-ulang, seperti tak ada dinamika lain yang boleh memacu corak perbincangan ke atas sesebuah karya sastera, yang sekaligus berlegar dalam nuansa yang boleh dimanfaatkan oleh sesiapa saja yang menaruh putik minat kepada sastera. Atau, saya mungkin sekali lagi tersilap; mungkin ada percubaan-percubaan untuk meletakkan warna lain yang lebih menarik kepada kritik begini, tetapi cara ia ditulis dan disampaikan pada kebiasaannya akan membunuh nafsu pembaca yang bermula pada awalnya dengan rasa ghairah.

Tentulah tak ada silapnya untuk meneruskan perbincangan kesusasteraan formalistik atau kritik sastera akademik yang selama ini menjadi pusar utama kritikan yang kita miliki. Tetapi, izinkan saya mengajak kamu untuk sama-sama memahami lapis-lapis awal bagaimana proses berkenaan berlangsung. Seorang pelajar lapangan sastera menanggapi keperluan kritikan sastera, pada peringkat yang paling awal yang menjadi matlamat utamanya, adalah untuk memperoleh segelung ijazah. Ia bukan bertolak daripada kesedaran di atas keperluan meruncing untuk melakukan kritik sastera itu kerana himpitan semasa lanskap kesusasteraan.

Disebabkan ini, peranan sarjana selepas mereka meraih gelung ijazah – kerana itu yang diharapkan sebagai balasan timbal bagi kritikan berkenaan – denyutnya langsung hilang dari tengah gelanggang sastera. Mungkin dengan pengecualian kepada segelintir kecil yang masih melakukannya, yang mana sangat mungkin mereka ini merupakan pengarang sendiri yang terlibat dalam proses menghasilkan pernerbitan bahan sastera untuk kesusasteraan, bukan untuk imbuhan lain. Bagaimana saya sampai kepada kesimpulan ini?

Saya hanya ada ini untuk ditanyakan: berapa jumlah graduan sastera yang dilahirkan negara ini setiap tahun dan adakah kelompok ini berhasil memacu perbincangan sastera di tengah-tengah khalayak umum? Atau cara berfikirnya masih tersangkut di dalam pagar universiti? Tolong katakan bahawa saya silap; mungkin golongan pelajar lapangan sastera yang sudah menjadi sarjana yang memilih kritikan sastera sebagai cabang kajian, ketika tamat pengajian, gagal untuk memahami sebetulnya seperti apa pergolakan dan pertembungan yang berlangsung dalam situasi sebenar yang berlangsung rencam dengan kerumitannya yang tersendiri di luar?

Walaupun sukar diakui, sebetulnya ada imbalan balik yang diharapkan – iaitu segelung ijazah – bukan keinginan untuk melihat kesusasteraan itu tumbuh matang semata-mata (walaupun kesedaran itu mungkin timbul kemudiannya). Jika bukan kerana gelung ijazah ini, mungkin tak ramai yang akan berkeinginan untuk meneruskan usaha kritikan.

Suka atau tidak untuk mengakuinya, segelung ijazah adalah perangsang utama kelompok ini dalam melakukan kerja-kerja kritik sastera. Tetapi, yang cuba saya beri penekanan di sini ialah sebuah budaya dan ketegasan kritik sastera yang bergerak di luar lingkungan formaliti; yang dilakukan hanya kerana merasakan kesusasteraan itu perlu untuk diberi perhatian baru, dari corong yang lebih menaikkan ghairah khalayak untuk terjun lebih dalam untuk memahami apa itu kesusasteraan.

1. Octavio Paz mengulas tentang perihal ini dengan lebih terperinci di dalam esei A Literature of Convergences, dengan merujuk secara langsung kepada latar sastera di Mexico dan Amerika Latin.

*Hafiz Hamzah, Editor dan pengasas rumah penerbitan Obscura. Esei ini adalah kerangka pandangan yang disampaikan dalam acara Dialog Orang Muda yang berlangsung pada 28 September lalu, dengan tumpuan perbincangan sekitar Kritikan Sastera: Mati atau Lena?

Maklumat lanjut tentang Obscura Malaysia, layari laman blog Obscura Malaysia dan Facebook di Obscura Malaysia