Berita

Suruhanjaya Integriti perlu diberi kuasa dakwa pegawai, bukan sekadar siasat

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) perlu diberi kuasa untuk mendakwa pegawai yang membuat salah laku, bukan sekadar menyiasat dan membuat cadangan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata perkara itu boleh dibuat dengan meminda Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 sedia ada.

“Selepas pindaan, barulah EAIC boleh buat penguatkuasaan. Dalam namanya ada ‘penguatkuasaan’, tetapi sekarang tak dapat buat begitu,” katanya dalam ucapan di sidang Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian susulan kes kematian dalam tahanan S. Balamurugan pada 8 Februari lalu.

Dalam pada itu, Charles turut mempersoal sama ada Kementerian Dalam Negeri ada memberi arahan kepada polis untuk melanggar perintah majistret dalam kes kematian berkenaan.

Menurutnya, Majistret Klang telah menolak permohonan perintah reman pada 6 Februari lalu dan mengarahkan Balamurugan dibebaskan, tetapi diingkari polis.

Dia kemudiannya meninggal dunia dalam tahanan di balai polis Klang Utara dan ditemui dalam keadaan muka lebam dan berdarah.

“Adakah Kementerian Dalam Negeri sudi melantik pendakwa raya khas bagi mengendalikan isu ini?

“Kita minta pendakwa raya untuk bekerja dengan EAIC bagi membolehkan pelakunya dibawa ke mahkamah,” ujar Charles.

Ahli Parlimen DAP itu semalam berkata kerajaan dilihat lepas tangan dalam kes kematian Balamurugan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kerajaan tidak akan membentuk jawatankuasa bagi menyiasat kes itu.

Sebaliknya, Zahid berkata kerajaan akan menyerahkannya kepada Polis Diraja Malaysia dan EAIC untuk menjalankan siasatan. – Roketkini.com