Berita

DAP persoal syarat aneh biasiswa JPA

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) digesa menjelaskan syarat tidak masuk akal yang dikenakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap pelajar yang memohon biasiswa bagi program pengajian domestik dan luar negara.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat gesaan ini dengan merujuk syarat ketat yang dikenakan terhadap pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memohon Program Penajaan 9A+ berbanding Program Khas Kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis, Jerman (JKPJ).

“Biasiswa luar negara (JKPJ) hanya memerlukan 7A, manakala biasiswa domestik, iaitu Program Penajaan 9A+ memerlukan keputusan 9A+.

“Bunyinya tidak logik sama sekali, namun, inilah jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamany di sidang Dewan Rakyat pada 5 April lepas,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP berkata, tidak mungkin Devamany melakukan kesilapan kerana ia pasti dibetulkan dan ditegur kakitangan JPA di Parlimen.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Devamany menjelaskan keputusan JPA menolak permohonan pelajar cemerlang, Teh Xin Yi di bawah JKPJ walaupun memperolehi 11A+.

“Devamany dan JPA perlu menjelaskan bagaimana beliau (Xin Yi) gagal dalam permohonannya apabila terdapat 200 tempat biasiswa di bawah JKPJ berkenaan,” ujar Teresa.

Xin Yi merupakan salah seorang daripada 102 pelajar yang memperolehi keputusan semua A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil bagi SPM 2016. – Roketkini.com