Rencana

Karnival Sehati@Kluang: Platform perkongsian baru

Pada 8 dan 9 September lalu, Karnival SEHATI@KLUANG yang merupakan program julung kalinya diadakan di Malaysia bersempena sambutan Hari Amal Antarabangsa tahun ini, telah diadakan secara besar-besaran.

SEHATI@KLUANG adalah hasil daripada sesi-sesi dialog antara Pejabat ADUN Mengkibol, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa badan bukan kerajaan. Idea asalnya ialah untuk mengadakan satu pameran kecil sempena Hari Amal Antarabangsa (5 September), tetapi dengan keterujuaan ahli-ahli jawatankuasa dan sambutan yang baik daripada semua pihak, idea ini bukan sahaja menjadi benih, malah berkembang menjadi satu karnival yang berlangsung selama 2 hari dan dipenuhi dengan pelbagai program. Karnival ini telah berjaya menarik kemasukan atau kunjungan orang ramai sebanyak 30,000 orang. Ini merupakan satu pencapaian yang amat menakjubkan dalam sesebuah penganjuran aktiviti amal, iaitu aktiviti yang dianjurkan oleh sukarelawan, tanpa bantuan penganjur profesional.

Sebagai wakil rakyat dan sebahagian daripada penganjur utama, saya memang tidak berhasrat untuk mengulang kerja-kerja amal yang telah dibuat dengan begitu baik oleh badan-badan amal. Tujuan saya menganjurkan acara ini ialah untuk menjalinkan hubungan badan-badan amal, menghubungkan mereka dengan pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan yang berkaitan, dan memperkenalkan mereka kepada orang ramai, agar mereka akan lebih dikenali, seterusnya mencapai kejayaan yang lagi tinggi dalam usaha-usaha amal mereka.

Wakil rakyat memang tidak berupaya untuk mendirikan rumah kanak-kanak yatim, rumah jagaan orang tua, pusat dialisis dan sebagainya. Peranan yang saya boleh mainkan ialah mewujudkan satu platform perkongsian, di mana organisasi-organisasi amal boleh dijalinkan di atas platform yang sama, bekerjasama antara satu sama lain. Dengan platform ini, saya boleh membantu mereka dalam menerokai cara-cara mengatasi masalah mereka dan saluran untuk mencapai golongan sasaran mereka, serta membimbing mereka dalam berkomunikasi dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan.

Penyediaan Karnival SEHATI@KLUANG mengambil masa selama 2 bulan. Jawatankuasa penganjur seramai 30 orang itu terdiri daripada pelbagai kaum, termasuk Orang Asli tempatan. Isi kandungan pameran dan persembahan, peserta-peserta aktiviti dan sukarelawan-sukarelawan juga menonjolkan unsur kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Sebanyak 37 organisasi bukan kerajaan dan badan amal telah mengambil bahagian dalam karnival ini. 26 daripadanya telah dipilih untuk berkongsi dana derma yang dikumpulkan dalam karnival 2 hari itu secara sama rata. Dana derma dalam bentuk tunai itu telah disampaikan kepada mereka pada penghujung karnival. Walaupun nilainya tidak seberapa besar, namun ia disampaikan kepada organisasi-organisasi itu dengan begitu cepat sekali, jauh lebih berkesan daripada peruntukan kerajaan yang biasanya sampai dalam jangka masa berbulan-bulan!

Jumlah derma yang dikutip daripada karnival SEHATI@KLUANG ialah RM84,370. Setiap organisasi yang menerima sumbangan masing-masing mendapat RM3,245. Nilai derma yang dikutip atau yang disalurkan kepada badan-badan amal bukanlah fokus acara ini, tetapi platform perkongsian yang terbentuk melalui acara ini dan keberkesanannya telah membuka mata semua pihak yang terlibat.

Sebagai platform perkongsian, pihak penganjur telah memaksimakan keberkesanan acara  ini dengan manyalurkan semua sumbangan pihak swasta secara terus kepada badan-badan amal yang memerlukan bantuan. Manakala sumber dan kemudahan kerajaan tempatan telah digunakan dengan begitu effektif untuk menurunkan kos penganjuran. Peruntukan program dari wakil rakyat pula digunakan untuk membiayai perbelanjaan aktiviti yang minima.

Kebanyakan program-program karnival ini telah dijalankan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Kluang dan Taman Merdeka yang bersejarah di Bandar Kluang. Kedatangan orang ramai ke lokasi-lokasi ini telah memeriahkan suasana kawasan yang semakin dilupai dan kian lenyap di dalam arus pembangunan baru. Ini merupakan hasil sampingan karnival SEHATI@KLUANG yang mengembirakan semua pihak kerana Taman Merdeka merupakan taman yang penuh dengan memori untuk hampir semua penduduk di Kluang. Diharap ia akan terus dijadikan sebagai tempat istirehat selepas karnival ini oleh generasi muda sekarang dan juga yang akan datang.

Sedikit kisah SEHATI@KLUANG, sebenarnya adalah secubit kasih segenggam sayang semua warga Kluang terhadap kampung halaman mereka yang indah itu!

*Chew Chong Sin adalah Adun Mengkibol